Mar 25, 2016

Dulu aku senang nak ingat, kenapa sekarang susah nak lekat?


قال رسول الله : اقرؤوا القرآن فإنه يأتي شفيعاً لأصحابه

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:-
(Bacalah olehmu akan Al-Quran, Sesungguhnya, ia akan datang memberi syafaat/pertolongan kepada kamu di hari kiamat kelak)

Cerita
Teringat tentang kisah Imam Syafie yang lemah hafalannya, akibat daripada maksiat yang telah beliau lakukan.
Artikel ini sebagai ibrah dan pengajaran bagi kita bahawa, maksiat boleh mempengaruhi lemahnya hafalan dan mengganggu ibadah kita.
Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata,
شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي
Aku pernah mengadukan kepada Waqi’ tentang lemahnya hafalanku. Lalu beliau menunjukiku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahu kepadaku bahawa  ilmu itu adalah cahaya dan cahaya Allah tidaklah akan memberi petunjuk kepada ahli maksiat.” (I’anatuth Tholibin, 2: 190).
Padahal Imam Syafi’i sebenarnya orang yang hafalannya sungguh amat luar biasa. Diriwayatkan dari Imam Asy Syafi’i, ia berkata, “Aku telah menghafalkan Al Qur’an ketika berumur 7 tahun. Aku pun telah menghafal kitab Al Muwatho’ ketika berumur 10 tahun. Ketika berusia 15 tahun, aku sudah mengeluarkan fatwa.” (Thorh At Tatsrib, 1: 95-96). Sungguh luar biasa hafalan beliau rahimahullah.
Namun kenapa hafalan beliau boleh terganggu?
Ketika itu Imam Syafi’i mengadukan pada gurunya Waqi’. Beliau berkata, “Wahai guruku, aku tidak dapat mengulangi hafalanku dengan cepat. Apakah sebabnya?” Gurunya, Waqi’ lantas berkata, “Engkau pasti pernah melakukan suatu dosa. Cubalah engkau merenungkan kembali!”
Imam Syafi’i pun merenung, ia merenungkan keadaan dirinya, “Apakah agaknya dosa yang telah aku lakukan?” Beliau pun teringat bahawa pernah suatu ketika beliau melihat seorang wanita tanpa sengaja yang sedang menaiki kenderaannya, lantas tersingkap pahanya [ada pula yang mengatakan: yang terlihat adalah buku lalinya]. Lantas setelah itu beliau segera memalingkan wajahnya.
Lantas keluarlah sya’ir yang diucapkan di atas. Inilah tanda wara’ dari Imam Asy Syafi’i, yaitu kewaspadaan beliau dari maksiat. Beliau melihat kaki wanita yang tidak halal baginya, lantas beliau menyebut dirinya bermaksiat. Sehingga ia lupa terhadap apa yang telah ia hafalkan.
Hafalan beliau boleh terganggu kerana ketidak-sengajaan. Itu pun sudah mempengaruhi hafalan beliau. Bagaimana lagi pada orang yang suka melihat wajah wanita, aurat mereka atau bahkan melihat bahagian dalam tubuh mereka?!
Sungguh, kita memang benar-benar telah terlena dengan maksiat. Lantas maksiat tersebut menutupi hati kita sehingga kita pun susah untuk melakukan ketaatan, malas untuk beribadah, juga susah dalam hafalan Al Qur’an dan hafalan ilmu lainnya.
Pengajaran
1) Maksiat adalah antara faktor hafalan seorang penghafal al-quran semakin berkurang.
2) Segera kembali bertaubat kepada ALLAH, jika terlalai dan melakukan satu kesalahan.
3) Sebagai seorang tholibul ilmi, carilah seorang guru/murobbi yang boleh membimbing dan menunjuk kepada kita jalan yang benar, serta menjadikan beliau tempat rujukan sekiranya terdapat permasalahan dan kemusykilan dalam sesuatu perkara.


0 comments:

Post a Comment